PENYANYI, Shila Amzah memilih untuk berdiam diri tanpa masuk campur berhubung urusan perpindahan keluarganya daripada banglo miliknya yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
Menurut Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, keputusan itu dibuat selepas berlaku perbalahan dan tuduh menuduh antara dirinya dengan adik beradik yang lain disebabkan rumah berkenaan.
“Kali ini saya tidak uruskan (perpindahan keluarga), mereka pilih sendiri. Saya tidak uruskan kerana masalah ini sudah terlalu besar. Jadi saya ambil langkah untuk mendiamkan diri sahaja.
“Saya lepas tangan. Kalau ada masalah nanti dan mereka minta tolong, tengoklah macam mana nanti,” katanya memetik Kosmo.
Pelantun lagu Memori Tercipta itu berkata sedemikian ketika menjawab soalan pengikutnya dalam Instagram.
Ketika disoal tentang perancangannya untuk menjual rumah banglo miliknya itu, Shila berkata, hasrat tersebut masih diteruskan dan hanya menunggu masa kediaman yang pernah meninggalkan banyak kenangan pahit itu dikosongkan.
“Sudah ramai yang tanya untuk beli rumah itu. Tapi biarlah tunggu kosong dahulu. Sekarang masih ada penghuni dalam rumah tersebut.
“Selepas kosong nanti, barulah senang orang nak datang tengok. Tapi setahu saya, mereka sudah tidak lagi duduk di situ. Cuma saya belum tahu mereka sudah pindah secara rasmi atau belum,” katanya.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai konflik antara Shila dengan keluarganya selepas adik perempuannya, Syada memuat naik hantaran rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.
Konflik semakin memuncak apabila Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.