KUALA LUMPUR: Kugiran Masdo antara band pertama di Malaysia terpilih berkolaborasi bersama syarikat jenama skuter popular United Kingdom, Royal Alloy.
Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi menyifatkan kolaborasi itu sebagai satu pengiktirafan buat mereka yang berkecimpung dalam industri muzik sejak 2015.
“Kita pun memang tak sangka sebenarnya diberi peluang untuk bekerjasama. Sebab kita memang ada jiwa-jiwa klasik, kita pun suka jenis-jenis motor begini.
“Saya dulu pun pernah ada Cafe Racer so memang tak taulah, mungkin jodohlah. Jodoh tu pula kena dengan muzik kita (Masdo) bawa.
“Alhamdulillah, akhirnya harini kita dapat bekerjasama dengan Royal Alloy untuk keluarkan edisi Masdo punya motor dan design pun kita dah ada so nanti kita akan issue macam mana bentuk dia punya logo, rupa dia,” kata Ali Sariah.
Pelantun lagu Inilah JalanNya itu berkata demikian pada sidang media perasmian pelancaran Royal Alloy Youth Edition di Glasshouse at Seputeh, di sini pada Selasa.
Difahamkan, pemilihan Masdo bukan sahaja berdasarkan bakat dan muzik berkualiti, malah imej retro yang digayakan kumpulan itu membuatkan mereka sesuai bergandingan bersama Royal Alloy.
Dalam pada itu, Masdo yang turut popular dengan lagu Janji Manis memaklumkan bahawa akan muncul dengan sebuah muzik video baru menerusi sebuah lagu yang akan mempamerkan imej Royal Alloy.
Menariknya, 50 orang pembeli pertama skuter edisi ‘Dinda’ Royal Alloy x Masdo itu, berpeluang untuk muncul dalam muzik video berkenaan.