PENGACARA terkenal, Datuk Aznil Nawawi sekali lagi menjadi perhatian apabila mengambil insiatif membuka tabung bantuan bagi meringankan beban penyanyi era 80-an, Ibnor Riza yang dilaporkan menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat.
Menerusi perkongsian di Instagram Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, 60, hatinya kuat mahu membantu Ibnor dek kerana melihat kesungguhan Ibnor Riza, 62, bekerja bagi menampung kos rawatan sehingga terpaksa menjual keretanya.
“Baru-baru ini Pak Nil ada bertemu dengan Ibnor Riza. Dia (Ibnor) cakap masih lagi nak menyanyi untuk kos kesihatan dan sara hidup. Pak Nil tak tahulah dalam keadaan kesihatannya sebegitu, berapa banyak ‘show’ mampu dibuat.
“Berapa banyak pula duit yang boleh dia kumpul untuk kelangsungan hidup serta kos perubatan buat kimoterapi dan pada waktu sama perbelanjaan untuk ubat-ubatannya sangatlah mahal.
“Memang Pak Nil tergerak nak bantu. Kita membesar dengan lagu-lagunya dan Pak Nil buka akaun untuk anda sampaikan derma infak walaupun dia sendiri tak minta derma ini dilakukan,” katanya.
Tambah Pak Nil, dengan bantuan dan iringan doa dapat memberi sinar buat Ibnor menjalani rawatannya.
Sebelum ini, media melaporkan Ibnor Riza sedia kembali menyanyi bagi mencari belanja harian selain kos kemoterapi yang dianggarkan berjumlah RM200,000 di sebuah pusat perubatan.
Selepas setahun tidak dapat bekerja kerana hilang suara, Ibnor mendedahkan membelanjakan kesemua wang simpanan sekitar RM80,000 untuk rawatan serta menjual tiga keretanya.
Untuk rekod, pada Jun tahun lalu, Pak Nil pernah mengambil inisiatif sama mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam yang menderita skoliosis atau masalah tulang belakang.
Inisiatif itu berjaya mengumpulkan sumbangan melebihi RM100,000 sekali gus membolehkan Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya.