HomeBeritaAnggota badan lelaki Indonesia ‘bersepah’ dibaham harimau

Anggota badan lelaki Indonesia ‘bersepah’ dibaham harimau

GUA MUSANG: Mayat seorang lelaki warga Indonesia dijumpai dalam keadaan mengerikan dengan keadaan anggota tubuh badannya tidak sempurna selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Sukria ditemui oleh seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pos Pasik di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan cebisan anggota tubuh badan mangsa itu kira-kira pukul 9.30 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dilancarkan melibatkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang dan penduduk setempat.

“Hasil operasi itu kemudiannya menemui cebisan kaki mangsa di kawasan cerun lebih kurang 500 meter dari lokasi anggota SAR dijalankan.

“Anggota penyelamat kemudiannya tiba di lokasi kedua sebelum menjumpai cebisan badan dan sebahagian kaki kira-kira 300 meter dari kawasan penemuan pertama,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan SAR kira-kira pukul 4.40 petang sebelum tiba di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang pada pukul 5.50 petang untuk proses bedah siasat.

Katanya, pihak Perhilitan akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan haiwan liar tersebut.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor