HomeBeritaBanjir di Terengganu semakin buruk, 1,431 mangsa berpindah

Banjir di Terengganu semakin buruk, 1,431 mangsa berpindah

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di hari kedua di Terengganu meningkat kepada 1,431 mangsa daripada 400 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 1,070 orang daripada 321 keluarga pukul 8 malam tadi.

Setakat ini, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu tujuh di Kuala Nerus, empat di Kuala Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan ialah di daerah Kuala Nerus iaitu 699 orang daripada 189 keluarga.

“Kesemua mereka kini berlindung di tujuh PPS iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, SK Bukit Nenas, SK Bukit Tunggal, Dewan Serbaguna Wakaf Catur dan Balai Raya Banggol Tok Jiring.

“Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa ialah seramai 574 mangsa daripada 173 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.

“Di Setiu, terdapat dua PPS beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar yang menempatkan 26 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.

Di Marang pula, terdapat satu PPS baru dibuka untuk 132 mangsa daripada 32 keluarga di SK Bukit Gasing.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca hujan berterusan di Terengganu hingga Khamis ini.

Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat dan amaran semasa yang tepat melalui laman web JPS di pautan publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.

Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada MET Malaysia. – Utusan

Authors

Pilihan Editor