HomeBeritaBekalan makanan makin kurang di Gaza - Nurul Ain

Bekalan makanan makin kurang di Gaza – Nurul Ain

SHAH ALAM: Seorang rakyat Malaysia di Gaza, Palestin, Nurul Ain Haron, 37, mengakui berdepan kesukaran dan bimbang kerana bekalan makanan semakin berkurangan.

Nurul Ain berkata, dia dan suami warganegara Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33, sering turun padang mengagihkan bantuan dari segi makanan, selimut, ubat-ubatan serta mainan untuk kanak-kanak hasil sumbangan orang ramai.

Bagaimanapun, menurutnya, bekalan makanan tersebut menyusut hari demi hari dan stok tidak mencukupi.

“Bantuan masih diteruskan, sesuatu amat menggusarkan saya dan suami, bekalan makin kurang dan banyak yang tak ada stok,” katanya menerusi hantaran di TikTok pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan, keadaan terkini Nurul Ain di wilayah bergolak terbabit disifatkan semakin tenat kerana masih tiada bekalan elektrik dan air bersih meskipun sudah memasuki hari ke-28 situasi menjadi tegang akibat serangan bertalu-talu tentera Israel.

Individu berasal dari Keramat itu memaklumkan, setiap hari dia akan menjamah juadah Taboon, sejenis roti nipis iaitu makanan tradisi masyarakat Gaza.

Tambah Nurul Ain, penduduk tempatan mengakui tetap bersyukur walaupun perlu tidur di tepi jalan akibat rumah musnah dibom, namun terdapat juga segelintir daripadanya yang terpaksa memecah masuk pasar raya kerana kelaparan.

“Mereka yang menumpang di sekolah juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran bom rejim Zionis, malah pesakit di hospital turut menjadi mangsa sehinggakan tiada tempat selamat lagi di Gaza,” ujarnya. – Sinar Harian

 

Author

Pilihan Editor