KELAKAR! Itulah perkataan yang terungkap usai menonton filem La Luna hasil karya pengarah berbakat dari Singapura, M Raihan Halim.
Filem genre romantik komedi yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 9 November ini, nyata membawa penonton ke satu dimensi lain dengan menekankan aspek ‘perubahan’.
Mungkin masih ada sebilangan daripada kita beranggapan ‘tak berbaloi’ menonton cerita Melayu di pawagam kerana semua jalan cerita dilihat ‘sama sahaja’ dan selayaknya dibuat drama untuk tatapan di televisyen semata.
Namun, berbeza buat La Luna yang boleh dikatakan memberi nafas baru membuktikan filem Melayu kini semakin berkualiti dan luar dari jangkaan!
Kenapa penulis berkata sedemikian? Ini jawapannya… sebelum itu ketahui dahulu sinopsis filem La Luna:
Dengan kos produksi sebanyak S$1.1 juta (RM3.5 juta), filem La Luna mengisahkan kehidupan di sebuah kampung rekaan bernama ‘Bras Basah’ iaitu sebuah kampung yang tegas khususnya soal agama. Kehadiran Hanie yang membuka kedai pakaian dalam dikenali ‘La Luna’ secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang hampir sunyi dan tidak bersemangat itu. Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran Hanie, ketua kampung pula nekad mahu mengusirnya kerana beranggapan perubahan yang dibawa Hanie merosakkan akidah dan suasana di Bras Basah.
1. Storyline
Melihat pada trailer sahaja sudah cukup membuatkan penulis beranggapan La Luna bukan dihasilkan untuk ‘bahan ketawa’ semata bahkan, filem ini menunjukkan bagaimana proses perubahan itu berlaku dalam sesebuah komuniti.
Malah, filem ini turut mempunyai mesej tersendiri yang menekankan pelbagai aspek daripada bab agama, hidup berjiran hinggalah soal isu ‘dalam bilik’.
Bukan itu sahaja, sisi pemerkasaan wanita turut dipaparkan dengan kemas dalam filem ini.
Mungkin ada beberapa babak yang boleh dijangka penonton namun, masih wujud elemen kejutan yang bakal membuatkan penonton tak kering gusi berdekah dalam pawagam dan meskipun sudah pulang ke rumah, penonton pasti teringat akan ‘kejadian’ itu.
2. Skrip
Mengulas tentang skrip penulisan, rata-rata dialog dalam La Luna sama seperti ungkapan lazim didengari dalam komuniti iaitu spontan dan bersahaja.
Namun, suka untuk penulis katakan terdapat dua tiga baris ayat yang diungkap watak, membuatkan penulis terfikir bahawa;
“manusia itu diuji dengan apa yang diungkapnya”
Ini kerana menerusi satu babak dalam filem ini, watak A mengatakan sesuatu kepada watak B dan segala yang dikatakan watak A itu, terjadi kepadanya semula menerusi paparan babak lain. Perkara ini bukanlah suatu hal yang asing dalam kehidupan kita selaku manusia jika kita benar-benar sedar dengan setiap yang berlaku itu.
Selain skrip, gaya intro dan outro filem ini dipaparkan turut menarik perhatian dengan jelas menunjukkan sesebuah perubahan itu boleh dicetuskan menerusi aspek keharmonian. Nak jelaskan lebih-lebih risau ‘spoiler’ pula…
3. Watak
Dari segi pemilihan watak, pasti ramai yang akan bersetuju watak Hanie lakonan Sharifah Amani dan Salihin lakonan Shaheizy Sam adalah satu keputusan terbaik dibuat pengarah. Mana tidaknya, kedua-dua watak itu seolah-olah sudah sebati dengan dua pelakon hebat tersebut.
Jika Shaheizy Sam menjadi inspektor Khai dalam filem Polis Evo, La Luna pula memperlihatkan watak Sam selaku Salihin iaitu pegawai polis yang mempunyai seorang anak gadis, Azura lakonan Syumaila Salihin. Menarik untuk penonton lihat bagaimana sisi seorang ayah yang harus tegas dalam kerja menjaga si anak dara yang keras kepala.
La Luna bukan sekadar kisah Hanie dan Salihin, kerana watak pasangan suami isteri, Ayob dan Enah lakonan Nam Rom dan Farah Ahmad bakal membuatkan penonton ‘terngaga’ seketika dek kerana simbolik ‘keintiman’ yang ditonjolkan mereka.
Jangan risau, La Luna bukan filem ‘seks’!
Akan tetapi intimacy yang dipaparkan kedua pelakon berbakat ini dalam memperlihatkan kisah rumah tangga itu sememangnya wujud dan dekat dengan realiti.
Mungkin akan ada pihak yang bersuara menyifatkan filem ini kurang sopan untuk tontonan anak kecil. Namun, jika dilihat secara teliti, rata-rata babak Ayob dan Enah itu turut menjadi ‘punca’ membuatkan La Luna itu tambah berseri dan menghiburkan.
Selain itu, menjadi tarikan apabila pelakon, Hisyam Hamid yang memegang watak Pa’at, seorang suami yang panas baran gemar memukul si isteri nyata dihidupkan dengan penuh kebencian sekali gus membuktikan Hisyam antara aktor yang berbakat dan bukan sekadar punyai wajah yang ‘handsome’ semata.
4. Lokasi Penggambaran
Satu lagi perkara yang bakal membuatkan penonton mendalami kisah La Luna ini adalah kerana pemilihan lokasi penggambarannya.
Filem yang dihasilkan di sebuah kawasan perkampungan yang terletak di Kuala Kangsar, Perak ini, pasti menambat hati penonton terutamanya buat mereka yang tidak lagi mempunyai kampung halaman atau tidak pernah merasai hidup dalam suasana kampung.
Malah jika dilihat sekilas lalu, elemen sinematografi filem ini seakan-akan mempunyai ‘vibes’ menonton filem ‘Cun! (2011)’ lakonan Remy Ishak dan Maya Karin yang berlatarkan kehidupan kampung di Kedah.
5. Siapa golongan sesuai tonton La Luna?
Jika ditanya siapa wajar menonton filem La Luna ini, sememangnya ia mempunyai mesej buat setiap lapisan masyarakat baik yang muda, middle age mahupun warga emas.
Cuma, sekiranya anda dalam fasa stres dan mahu menonton sesuatu yang menghiburkan, silakan ke pawagam dan tontonlah La Luna.
Jika anda mahu mencari keakraban dengan pasangan (suami isteri), silalah ke pawagam menonton La Luna.
Dan jika anda mencari filem Melayu yang sesuai dijadikan kajian sinema, silakan mengkaji filem La Luna.
Tiada siapa yang akan rugi berbelanja menonton filem ini sebaliknya kalian akan pulang dengan rasa puas dan geli hati.
Selamat menonton La Luna!