HomeTeknologiWhatsApp jana 'sticker' AI gambarkan rakyat Palestin pengganas

WhatsApp jana ‘sticker’ AI gambarkan rakyat Palestin pengganas

SOKONGAN Amerika Syarikat (AS) yang tidak berbelah bahagi terhadap jenayah negara haram Israel ke atas Palestin semakin kuat menerusi kecerdasan buatan (AI) di aplikasi WhatsApp.

Dalam ciri yang diumumkan baru-baru ini, platform milik Meta yang berpangkalan di AS itu membenarkan pengguna menjana imej pelekat seperti kartun dan objek untuk menghantar objek.

Ciri AI yang belum tersedia untuk semua pengguna itu antara lain mencipta imej seorang kanak-kanak lelaki atau lelaki dewasa bersenjata yang menggambarkan rakyat Palestin sebagai pengganas.

Menurut laporan The Guardian, hasil carian kanak-kanak Palestin memaparkan pelekat kanak-kanak lelaki memegang senjata api dan memakai kopiah.

Malah, carian imej Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) tidak menemukan sebarang pelekat dan memberi mesej kepada pengguna untuk ‘Cuba Lagi’.

Pelekat hasil carian kanak-kanak Muslim Palestin di WhatsApp. -Foto: Agensi

Sementara itu, pencarian kanak-kanak Israel pula memaparkan imej kanak-kanak tersenyum dan bermain bola sepak serta tiada satu pun pelekat memaparkan mereka membawa senjata api.

Antara pilihan pelekat di WhatsApp yang menggambarkan rakyat Palestin sebagai pengganas. -Foto: Agensi

Bukan itu sahaja, hasil carian tentera Israel atau ‘pasukan pertahan Israel’ tidak langsung menghasilkan pelekat dengan senjata api.

“Pencarian kanak-kanak Israel menghasilkan kartun kanak-kanak bermain bola sepak dan membaca.

“Bagi pencarian ‘tentera Israel’, AI mencipta imej tentera tersenyum dan berdoa serta tiada senjata api terlibat,” menurut The Guardian.

Mengulas mengenai laporan The Guardian, senator Australia, Mehreen Faruqi menyeru pesuruhjaya e-keselamatan negara itu untuk menyiasat imej perkauman dan Islamofobia yang dihasilkan oleh Meta.

“Imej AI kanak-kanak Palestin yang memegang senjata di WhatsApp adalah gambaran menakutkan tentang kriteria perkauman dan Islamofobia yang dimasukkan ke dalam algoritma.

“Berapa banyak lagi ‘bugs‘ perkauman yang perlu didedahkan sebelum tindakan serius diambil? Kerosakan sudah berlaku dan Meta mesti bertanggungjawab,” kata Mehreen dalam kenyataan di e-mel.

Meta mendapat kecaman teruk daripada kebanyakan pengguna Facebook dan Instagram, yang dilihat menyokong kekejaman Israel terhadap Genting Gaza yang dikepung sejak 7 Oktober lalu.

Serangan berterusan Israel setakat ini meragut lebih 9,500 nyawa manakala lebih 26,000 individu yang kebanyakannya wanita, kanak-kanak serta warga emas turut tercedera.

Pengguna menyifatkan bahawa Meta menguatkuasakan dasar berat sebelah ketika membuat penapisan berhubung Israel dan Palestin.

Author

Pilihan Editor