CYBERJAYA: Pelakon, Aedy Ashraf, berharap anak muda masa kini tidak mencontohi dirinya yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah, Aedy atau nama sebenarnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, pengakuannya berhenti sekolah ketika tingkatan empat itu adalah perkara yang tidak wajar dibanggakan.
Pelakon drama Budak Tebing itu menjelaskan tindakan itu dibuat kira-kira 14 tahun lalu atas faktor tertentu.
“Apa yang saya dedahkan baru-baru ini, bukanlah bertujuan untuk mengajak golongan muda mencontohi apa yang sudah saya lakukan ketika berusia 16 tahun dulu apabila memilih berhenti sekolah dan tak ambil SPM.
“Bagi saya, menuntut ilmu sangat penting dalam hidup kita dan proses ini (belajar) tidak akan pernah berakhir. Cuma, situasi saya tidak bertuah pada ketika itu (remaja) kerana perlu bekerja bagi menyara keluarga.
“Kalau saya ada peluang belajar sebagaimana orang lain dengan kemampuan kewangan yang cukup, saya akan terus belajar menimba ilmu hingga ke tahap tertinggi yang saya boleh pergi sebab pendidikan itu penting,” katanya memetik Harian Metro pada Rabu.
Dalam pada itu, Aedy turut menasihatkan golongan remaja yang masih bersekolah supaya terus menimba ilmu sehingga ke peringkat menara gading jika berpeluang kerana dalam kehidupan memiliki ilmu sangat penting.
“Kepada remaja yang masih bersekolah, saya galakkan agar adik-adik menghabiskan persekolahan itu dan sekiranya ada rezeki ke universiti, teruskan kerana ilmu sangat berguna dalam kehidupan. Jangan mencontohi apa yang pernah saya lakukan.
“Walaupun tidak habis sekolah dan ambil SPM, saya seorang yang suka membaca buku-buku kemahiran, termasuk belajar sendiri secara ‘online‘ (atas talian) kerana sedar menuntut ilmu penting dan tidak pernah berakhir,” ungkapnya.
Malah, Aedy turut menyatakan bahawa bukanlah suatu hal yang mudah untuk dirinya membuat pendedahan berhenti sekolah itu kerana bimbang menjadi ikutan anak muda.
“Selama 13 tahun, saya simpan perkara ini tanpa mendedahkannya.
“Jadi, daripada pendedahan saya itu harapnya adik-adik jadikanlah iktibar agar mengutamakan pelajaran jika keluarga berkemampuan. Jangan sia-siakan peluang yang ada itu,” ujarnya.
Terdahulu, Aedy berkongsi rahsia terbesar dalam hidupnya itu ketika menjadi tetamu di dalam program Studio Sembang yang dikendalikan selebriti jelita, Amelia Henderson, baru-baru ini.