TERHARU! Itulah apa yang dirasakan oleh pengguna TikTok apabila menyaksikan pempengaruh Barat, Megan Rice mengucap dua kalimah syahadah menerusi siaran langsung aplikasi tersebut.
Menerusi video tular, dapat dilihat Megan tersenyum bahagia selepas selesai mengucap syahadah sambil dibimbing seorang pendakwah dikenali sebagai Ustaz Ahmad Bostani.
Sebelum ini, pempengaruh tersebut kerap berkongsi video mengenai dirinya mengkaji al-Quran di TikTok miliknya.
Perkongsian itu mencetuskan satu gerakan yang dikenali sebagai ‘non Muslim reading Quran’ di media sosial.
Malah, ruangan komen di TikTok Megan itu telah dihujani dengan pelbagai doa dan kata-kata baik terutamanya daripada warganet beragama Islam kerana tahu perjalanannya yang giat mengkaji kitab suci al-Quran sebelum ini.
Difahamkan, selain daripada mempelajari kalam Allah itu, dia juga sangat lantang dalam menyuarakan solidariti kepada penduduk Palestin yang sedang berjuang mempertahankan Tanah air mereka.