BANDAR GAZA, Palestin: Tentera Israel pada Jumaat memberi amaran kepada rakyat Palestin daripada pergi ke bahagian utara Genting Gaza semasa jeda kemanusiaan yang berkuat kuasa awal pagi ini.
Menurut seorang wartawan Anadolu di lapangan, tentera Israel menggugurkan risalah di bahagian selatan Gaza, termasuk bandar Rafah, mengarahkan supaya tidak berpindah ke utara di tengah-tengah gesaan oleh rakyat Palestin untuk berpindah ke sana pada sebelah petang.
“Kepada penduduk Genting Gaza, perang belum berakhir, jeda kemanusiaan adalah sementara, dan wilayah utara Gaza adalah zon perang,” kata risalah itu.
Ia juga menjelaskan bahawa pergerakan hanya dibenarkan dari utara ke selatan melalui Jalan Salahuddin di sebelah timur enklaf kecil itu.
“Kembali ke utara adalah dilarang dan berbahaya, nasib anda dan keluarga anda berada di tangan anda,” kata risalah itu.
Qatar pada awal Khamis berkata, perjanjian jeda kemanusiaan antara Israel dan Hamas di Genting Gaza akan bermula pada 7 pagi waktu tempatan (0500GMT) pada Jumaat.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Genting Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin Hamas pada 7 Oktober.
Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Genting Gaza telah meningkat kepada 14,854, kata pejabat media kerajaan di kawasan yang disekat pada Khamis.
Mangsa termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, manakala lebih 36,000 orang telah cedera, katanya.
Kira-kira 7,000 orang masih tidak dapat dikesan, termasuk lebih 4,700 kanak-kanak, tambahnya.
Angka kematian rasmi Israel berjumlah 1,200 orang. – Anadolu