HomeBeritaMahkamah & JenayahPembantu pengurusan sekolah disyaki cabul 15 murid OKU

Pembantu pengurusan sekolah disyaki cabul 15 murid OKU

KUCHING: Tempoh tahanan reman pembantu pengurusan murid sebuah sekolah di Serian yang disyaki mencabul 15 murid sekolah itu dilanjutkan sehingga 1 Disember depan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, pihaknya menerima 12 laporan daripada ibu bapa serta guru kepada 15 mangsa itu antara 16 hingga 22 November yang mendakwa anak mereka dicabul oleh suspek.

Berikutan itu katanya, suspek ditahan pada 17 November lalu dan direman selama tujuh hari yang berakhir hari ini.

“Bagaimanapun tempoh tahanan reman dilanjutkan sehingga 1 Disember bagi melengkapkan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mancha berkata, semua mangsa adalah kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 hingga 14 tahun.

“Semua mangsa adalah pelajar pendidikan khas iaitu Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran, fizikal serta autisme.

“Jika sabit kesalahan mengikut Akta 792, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat,” katanya.

Menurutnya, berikutan suspek bertugas sebagai pembantu pengurusan murid, dia memikul amanah iaitu mangsa berada di bawah pemeliharaan, pengawasan dan kuasanya seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

“Kes itu masih dalam siasatan polis dan orang ramai adalah dinasihatkan supaya lebih peka dan prihatin dengan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian itu boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak jika tidak dibendung lebih awal,” katanya.

Katanya, kegagalan memberikan maklumat berhubung perlakuan seksual terhadap kanak-kanak boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor