HomeGlobalLagi 400 maut di kem pelarian Palestin akibat serangan Zionis

Lagi 400 maut di kem pelarian Palestin akibat serangan Zionis

SEKURANG-KURANGNYA 400 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban dan cedera, akibat serangan udara rejim pengganas Israel di kem pelarian Jabaliya dekat Genting Gaza yang dikepung pada Selasa.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad al-Bazum berkata, bom buatan Amerika Syarikat (AS) itu menyasarkan rumah kediaman dan menyebabkan pembunuhan beramai-ramai.

“Bangunan ini menempatkan ratusan penduduk. Mereka (Israel) memusnahkannya dengan enam bom buatan AS.

“Ini adalah pembunuhan beramai-ramai terbaharu akibat pencerobohan Israel di Gaza,” katanya seperti dilapor Press TV.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menghentikan segera segala kekejaman Israel di wilayah itu.

Menerusi rakaman video dari kem terbabit, bangunan dilihat menyembah bumi manakala rakyat Palestin yang panik membawa kanak-kanak yang cedera jauh dari lokasi kejadian, malah ada juga mencari mangsa terselamat.

Setakat ini, lebih 8,610 rakyat Palestin terkorban, manakala lebih 23,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.

Angka itu tidak termasuk korban akibat serangan rejim Zionis ke atas kem Jabaliya.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

Jumaat lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sekali lagi gagal mencapai keputusan berhubung serangan rejim Zionis ke atas Gaza.

Namun, ia sekali lagi akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin bagi membincangkan isu sama.

Author

Pilihan Editor