HomeBeritaPelajar Malaysia berada di selatan, hanya tentera di utara Yaman terlibat perang

Pelajar Malaysia berada di selatan, hanya tentera di utara Yaman terlibat perang

CYBERJAYA: Ahli keluarga rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Yaman disaran untuk tidak perlu berasa khuathir, susulan negara Timur Tengah itu mengisytiharkan perang ke atas Israel.

Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (Permaya) berkata, hal ini kerana hanya angkatan tentera di utara Yaman terlibat dalam peperangan itu.

Sebaliknya, katanya, hampir keseluruhan pelajar Malaysia menuntut ilmu di kawasan selatan Yaman dan ia sama sekali tidak memberi kesan kepada mereka khususnya di Hadramaut.

“Alhamdulillah keadaan di kawasan Hadramaut masih terkawal dan selamat.

“InsyaAllah, sebarang maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, kumpulan Houthi di Yaman mengisytiharkan perang ke atas Israel dengan melancarkan peluru berpandu dan dron dari selatan negara itu ke arah bandar Eilat.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, pasukannya melancarkan sejumlah besar peluru berpandu dan dron ke arah Israel dan akan terus melakukan serangan bagi membantu Palestin mencapai kemenangan.

Walaupun Houthi telah melancarkan peluru berpandu ke atas Tel Aviv sejak Rejim Zionis mengisytiharkan perang ke atas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), ini adalah kali pertama kumpulan tersebut secara terbuka mengakui serangan itu.

Kenyataan Yahya di televisyen mengesahkan kebimbangan bahawa konflik Palestin-Israel boleh merebak ke rantau Asia Barat dengan pelbagai pihak menyertai Iran dalam membantu Hamas menentang Israel.

Houthi adalah sebahagian daripada ‘paksi penentangan’ Iran dan telah menyokong Hamas sejak kumpulan pejuang Palestin itu melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu.

Mereka telah berperang dengan pemerintah Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak 2014 dan menguasai bandar ibu kota, Sanaa.

Author

Pilihan Editor