HomeBeritaPolitikPM diingat berhati-hati sokongan Ahli Parlimen pembangkang

PM diingat berhati-hati sokongan Ahli Parlimen pembangkang

CYBERJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya berhati-hati adengan sokongan yang dinyatakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, bagi memastikan agenda Reformasi Parlimen tidak tersasar daripada matlamat.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau melihat ikrar sokongan berkenaan sebagai satu kaedah yang terselit agenda tertentu untuk Ahli Parlimen terbabit beralih sokongan tanpa keluar daripada parti mereka.

“Apabila Akta Anti Lompat Parti dicadang untuk dikuatkuasakan dengan tujuan untuk menghalang ‘katak’ politik ‘melompat’ sesuka hati, bagi saya ia mungkin boleh menamatkan ‘drama politik’ yang berpanjangan dan wakil rakyat yang dipilih boleh memberi fokus untuk berkhidmat kepada rakyat dan parti yang mereka wakili.

“Tetapi rupa-rupanya, walaupun akta berkenaan sudah diluluskan, ‘katak-katak’ ini tetap melompat menggunakan nama yang lain, iaitu menyokong kerajaan tanpa keluar parti. Jadi, nama yang digunakan walaupun berbeza tetapi tujuannya tetap sama.

“Justeru, saya mohon PMX menilai semula mereka yang melompat ini supaya agenda Reformasi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan yang sebenarnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, semua ahli politik khususnya Ahli Parlimen diharap menghentikan drama yang mungkin menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik seperti itu. Kini adalah masa untuk kita memberi fokus membantu rakyat.

“Justeru, Pemuda UMNO sangat tidak bersetuju dengan tindakan ‘katak politik’ seperti ini,” katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata demikian mengulas tindakan empat Ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Mereka adalah dua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing dari Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen PAS dari Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Jeli, Zahari Kechik.

Author

Pilihan Editor