HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis siasat penipuan pelaburan didalangi ‘Datuk’ bolot RM1 bilion

Polis siasat penipuan pelaburan didalangi ‘Datuk’ bolot RM1 bilion

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berkaitan kegiatan penipuan pelaburan membabitkan lelaki bergelar ‘Datuk’ yang didakwa menipu ratusan pelabur dianggarkan bernilai RM1 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).

“Kita kena siasat dulu dakwaan yang menyatakan ‘Datuk’ itu dilindungi oleh ‘Tan Sri’. Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu benar.

“Kalau dia kata cakap dilindungi oleh ‘Tan Sri’, ‘Perdana Menteri’, kita kena siasat. Tak boleh terus-terus buat kesimpulan sebab maklumat itu bukan datang dari saya atau JSJK sendiri.

“Memang kita dah minta untuk siasat, kertas siasatan sudah dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Media semalam melaporkan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu ratusan pelabur dengan janji manis apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘Tan Sri’ melalui 18 syarikat pelaburan.

Tidak hanya menyasarkan rakyat biasa, malah syarikat swasta, kerajaan, golongan profesional seperti doktor serta pelabur antarabangsa didakwa turut dijadikan mangsa yang sehingga kini jumlah kerugian dianggarkan hampir RM1 billion.

Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (Maper), Shah Abdul Malek, 50, berkata, individu berkenaan pada awalnya memberi jaminan pulangan yang tinggi sehingga enam peratus setiap bulan bagi setiap wang yang dilaburkan.

Menurutnya, dalam tempoh beberapa bulan, individu berkenaan tidak membayar pulangan dijanjikan, malah membuat ugutan akan melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung punca kewangan pelaburnya yang melabur sehingga jutaan ringgit. – Utusan

Authors

Pilihan Editor