NIAT seorang wanita yang mahu berhias untuk suaminya bertukar menjadi peristiwa menyedihkan selepas diceraikan dengan talak tiga.
Keputusan itu dibuat gara-gara suaminya berang, apabila wanita tersebut membentuk kening tanpa meminta kebenarannya.
Kejadian itu berlaku ketika lelaki berkenaan yang tinggal di Arab Saudi membuat panggilan video kepada isterinya yang berada di Kanpur, India.
Tidak hanya diceraikan, malah lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Salim itu juga menegaskan kepada wanita tersebut bahawa dia bebas melakukan apa sahaja dan tidak mahu mengambil peduli.
Wanita yang dikenali sebagai Gulsaba itu kemudian membuat laporan polis selepas diceraikan pada 4 Oktober lalu.
Gulsaba juga mendakwa bahawa keluarga mertuanya campur tangan dalam urusan mas kahwinnya.
Lapor NDTV, Muhammad kemudian didakwa dengan tuduhan melakukan kezaliman terhadap isteri dan mas kahwin.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Januari 2022.
Penceraian talak tiga diisytiharkan haram dan tidak mengikut Perlembagaan di India pada 2019.