CYBERJAYA: Seorang pengguna TikTok tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon, Aniq Suhair atas dakwaan menghamilkan dirinya baru-baru ini.
Wanita yang tidak dikenali identitinya itu menyedari kesilapannya dan menyatakan perbuatan terbabit telah menimbulkan fitnah serta menjejaskan reputasi Aniq.
“Salam, please don’t ask further questions. I’m here to make public apology for what I posted on my Tiktok about Aniq Suhair. It wasn’t my intention to ruin his reputation and career,” katanya menerusi TikTok @teas.aniqsuhair.
Dalam hantaran yang sama, individu itu turut mengakui tindakan melulu dalam menularkan dakwaan itu adalah melampaui batas.
“Maaf kepada semua yang follow acc ni, maaf kepada media dan terutama sekali kepada Aniq Suhair for the postings.
“Ini adalah satu tindakan tidak wajar terhadap empunya badan. Tidak seharusnya saya memuat naik content seperti ini.
“All the postings are just accusations towards Aniq Suhair. Sorry for ruining your reputations,” luahnya kesal.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang wanita mendakwa dirinya hamil anak kepada seorang selebriti lelaki.
Lebih memburukkan keadaan apabila pelakon tersebut dikatakan enggan bertanggungjawab terhadap kandungan itu.
Pelakon utama drama Sekali Lagi Cinta Kembali menjadi bualan warga net apabila wanita itu berkongsi beberapa foto dan video mendakwa pelakunya merupakan pelakon terbabit.
Tidak berdiam diri, Aniq kemudiannya bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita berkenaan.