HomeGlobalYaman rampas kapal Israel di Laut Merah

Yaman rampas kapal Israel di Laut Merah

ANGKATAN bersenjata Yaman bertindak merampas sebuah kapal milik negara haram, Israel ketika berlayar di Laut Merah pada Ahad.

Menurut laporan saluran berita Al-Mayadeen, seramai 52 anak kapal juga sudah ditahan.

Al-Mayadeen turut melaporkan, kru kapal itu sedang disiasat manakala kewarganegaraan mereka masih disahkan pihak berwajib Yaman.

Sementara itu, media Israel mengesahkan bahawa kapal milik negara haram yang dinamakan  ‘Galaxy Leader’ tersebut telah dirampas, manakala seluruh anak kapalnya ditahan di selatan Laut Merah.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree pada Ahad mengumumkan bahawa, pihaknya akan menyasarkan semua kapal yang dimiliki atau dikendalikan syarikat Israel.

Lapor Press TV, mana-mana kapal yang mengibarkan bendera negara penjajah itu turut menjadi sasaran.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin, yang menjadi mangsa serangan berterusan rejim pengganas Israel di Genting Gaza.

Pada masa sama, Yahya menyeru semua negara untuk menarik semula kewarganegaraan rakyat mereka yang berkhidmat sebagai kru di mana-mana kapal terbabit.

Menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen pada 14 November lalu, pemimpin Houthi, Abdul-Malik al-Houthi menggesa negara Arab dan dunia Islam supaya bersikap lebih jelas bagi menyatakan pendirian terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Beliau berkata, tentera Yaman sedang mengawasi mana-mana kapal Israel di Laut Merah, Selat Bab el-Mandab serta perairan wilayah Yaman.

Katanya, Israel juga tidak berani menaikkan bendera ketika berlayar di Laut Merah.

Setakat ini, lebih 12,300 rakyat Palestin terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 30,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

Author

Pilihan Editor