REJIM pengganas Israel terus melancarkan serangan udara di Gaza dan kali ini membabitkan empat buah hospital termasuk kompleks perubatan terbesar di genting tersebut, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.
Jurucakap kementerian itu, Ashraf al-Qudra berkata, rejim pengganas bertindak menyerang Kompleks Perubatan al-Shifa, yang menempatkan ribuan penduduk Gaza untuk berlindung di kawasan berkenaan.
“Rejim pengganas kini mengambil langkah berbahaya dengan menyerang hospital yang menempatkan ribuan penduduk, yang menumpang berteduh di kawasan hospital berkenaan.
“Zionis juga mendakwa Hamas (Pergerakan Perjuangan Islam Palestin) mengendalikan sebuah pusat arahan di kawasan hospital berkenaan, termasuk pintu masuk ke rangkaian terowong yang luas, namun dinafikan oleh Hamas dan pegawai-pegawai di hospital,” katanya seperti dilapor Al-Jazeera.
Sementara itu, Ketua Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya berkata, serangan tersebut menyasarkan orang awam dan beberapa wartawan.
“Ini menyebabkan ramai yang terkorban termasuk ratusan yang lain berdepan kecederaan kritikal. Ia merupakan genosid di tempat ini,” katanya.
Terdahulu, rejim Zionis bertindak mengebom sebuah bangunan berhampiran dengan hospital.
Abu Salmiya berkata, pasukan paramedik dan pesakit kini berada dalam keadaan ketakutan akibat letupan yang berhampiran dan berterusan.
“Tiada satu saat pun berlalu tanpa pengeboman menyebabkan banyak tingkap hospital telah dipecahkan, sehingga mencetuskan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan paramedik, pesakit serta orang awam yang berlindung di kawasan tersebut.
“Ini adalah perang terhadap hospital dan semua rakyat di Palestin,” tambahnya.
Menerusi video tular, orang ramai dilihat berlari bertempiaran mencari perlindungan, selain kelihatan seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
According to testimonies, an #American R9X Hellfire have been fired at journalists at Al Shifa Hospital tonight. The missile has blades that rotate at high speed leaving amputations around and few damage in buildings.#Gaza pic.twitter.com/pB00SvcAs7
— Quds News Network (@QudsNen) November 9, 2023
Difahamkan, rejim Zionis menggunakan peluru berpandu Hellfire RX9 Amerika dalam serangan di Hospital al-Shifa itu.

Peluru berpandu ini akan mengeluarkan enam bilah pisau untuk membunuh sasaran apabila dijatuhkan.
Selain Hospital al-Shifa, dua lagi hospital kanak-kanak, Al-Rantisi dan Al-Nasr, turut menjadi sasaran pengeboman Zionis.