BEBERAPA bayi pramatang yang terpaksa ditinggalkan akibat serangan bom rejim pengganas Israel ditemui meninggal dunia di dalam Hospital Kanak-Kanak Al-Nasr di Gaza.
Mayat bayi berkenaan dibiarkan reput di unit rawatan rapi (ICU) selepas kakitangan perubatan dipaksa melakukan perpindahan, menurut laporan video saluran TV Emirati al-Mashhad.
Rakaman itu turut memaparkan mayat bayi berkenaan masih berada di atas katil hospital.
Video tersebut dirakam ketika jeda kemanusiaan yang dilaksana baru-baru ini, lapor Press TV.
Sekurang-kurangnya 22 hospital di Gaza menjadi sasaran rejim Zionis, manakala kakitangan dan orang ramai yang mendapatkan perlindungan di pusat kesihatan tersebut dipaksa berpindah sejak 7 Oktober lalu.
Antara hospital yang menjadi sasaran termasuk Hospital Al-Shifa, Hospital Al-Rantisi dan Hospital Indonesia.
Namun, ramai pengamal perubatan enggan mematuhi arahan itu berikutan bimbang dengan keselamatan dan kesihatan pesakit.
Pada masa sama, tiada sebarang bantuan mahupun langkah keselamatan disediakan buat pesakit atau kakitangan perubatan.
Antara yang terperangkap di dalam hospital termasuk bayi pramatang, pesakit ICU, warga emas yang menjalani dialisis dan mereka yang cedera akibat serangan udara.
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris menerusi satu taklimat pada Selasa berkata, runtuhan di Hospital Al-Shifa yang juga kemudahan perubatan terbesar di Gaza merupakan satu tragedi.
Jurucakap Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef), James Elder berkata, hospital di Gaza dipenuhi dengan kanak-kanak yang cedera akibat pengeboman Israel dan berdepan wabak gastroenteritis akibat minum air kotor.
Rundingan sengit kini sedang dijalankan bagi mendapatkan lanjutan kedua gencatan senjata sementara antara Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan rejim Zionis.
Gencatan senjata semasa pada mulanya berkuat kuasa selama empat hari pada Jumaat lalu dan dilanjutkan selama 48 jam.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, lebih 15,000 rakyat Palestin, termasuk lebih 6,000 kanak-kanak terkorban akibat serangan berterusan rejim Zionis selama 49 hari.
Malah, ramai mangsa dikhuathiri tertimbus di bawah runtuhan.