HomeBerita16 kematian akibat rabies di Malaysia

16 kematian akibat rabies di Malaysia

CYBERJAYA: Seorang wanita berusia 44 tahun merupakan mangsa terbaharu penyakit anjing gila atau rabies di Sarawak.

Kematian wanita itu menjadikan jumlah korban akibat penyakit tersebut meningkat kepada 16 daripada 18 kes membabitkan manusia yang dilaporkan tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ooi Choo Huck berkata, wanita itu meninggal dunia di Kuching pada Selasa, selepas mengalami simptom sejak 28 November lalu, manakala sampel klinikal mengesahkan mangsa menghidap rabies.

Dr Ooi memaklumkan, mangsa memiliki enam ekor kucing peliharaan yang bebas berkeliaran dan tidak pernah diberi vaksin rabies.

“Salah seekor kucingnya mati dua bulan lalu. Wanita yang menghidap kencing manis dan darah tinggi itu menafikan mempunyai sejarah gigitan haiwan, namun berdasarkan pemerhatian klinikal, dia mengalami kesan calar dan luka lama serta sentiasa dijilat oleh kucingnya.

“Bagaimanapun, dia tidak pernah mendapatkan rawatan atau suntikan rabies di fasiliti kesihatan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, kes rabies di Sarawak meningkat kepada 18 antara 1 Januari dan 13 Disember tahun ini, berbanding 14 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Mengulas lanjut jumlah kes tahun ini, beliau berkata, lima dilaporkan di Sibu, masing-masing empat di Serian dan Kuching, tiga di Bintulu dan dua di Samarahan.

Jumlah kumulatif kes kini sebanyak 73 dengan 66 kematian sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017.

Memandangkan kes semakin meningkat, Dr Ooi mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan terhadap rabies.

Ini termasuk mendapatkan rawatan segera di klinik sekiranya terdapat gigitan serta mempunyai kesan calar akibat cakaran haiwan dan mendapatkan kursus lengkap vaksinasi anti-rabies.

Vaksin anti-rabies boleh didapati di 130 klinik awam dan 29 pusat perubatan swasta di Sarawak.

“Sebelas hospital juga menyediakan suntikan imunoglobulin rabies (RIG) buat kes berisiko tinggi,” kata Dr Ooi.

Author

Pilihan Editor