HomeBeritaBapa di lokap, ibu menghilang, empat beradik ditemui terbiar

Bapa di lokap, ibu menghilang, empat beradik ditemui terbiar

SEREMBAN: Empat beradik masing-masing berusia tujuh bulan, dua tahun, lima tahun dan tujuh tahun ditemui terbiar selama tiga hari di sebuah rumah di Ampangan, dekat sini, kelmarin.

Ketika ditemui, hanya permaidani lusuh dijadikan alas tidur manakala bayi berkenaan dijaga abang sulungnya.

Difahamkan, ibu kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah sejak 1 Disember lalu manakala bapa mereka dikatakan dalam tahanan reman polis.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi, berkata ibu bapa empat beradik itu dipercayai etnik Rohingya dan kerap berpindah-randah.

“Kita menerima aduan daripada beberapa jiran pada jam 9.40 malam kelmarin mengenai keadaan tiga kanak-kanak dan seorang bayi berusia tujuh bulan yang diabaikan.

“Penduduk mengambil mereka dan ditempatkan di kediaman jiran serta diberi makanan. Ketika JKM mengambil mereka, empat beradik itu berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pegawai JKM membuat siasatan segera ke lokasi kejadian dan menghubungi pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Siasatan mendapati ibu mereka keluar rumah mulai 1 Disember dan tidak kembali manakala bapa mereka berada di lokap dan dijadual dibebaskan hari ini.

“Anak-anak ini berada di tempat selamat sebelum diserah kepada bapa kandung di bawah pemantauan pihak UNCHR,” katanya.

Katanya, laporan polis dibuat mengenai kejadian itu dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 17 (1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor