HomeBeritaPolitikIsham Jalil tak hadir mesyuarat UMNO selagi dipengerusi Zahid Hamidi

Isham Jalil tak hadir mesyuarat UMNO selagi dipengerusi Zahid Hamidi

CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil tetap mempertahankan pendirian untuk tidak menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Isham berkata, keputusan itu akan tetap diteruskan sebagai protes dan selagi Ahmad Zahid bertegas dengan keputusan untuk bekerjasama dengan DAP pada pilihan raya.

“Ini penggal kedua saya dalam Majlis Tertinggi, saya sudah boleh baca apa yang dia akan buat dalam mesyuarat. Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya, ” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Isham Jalil.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengharapkan Isham mempunyai keberanian untuk menghadiri Mesyuarat MKT parti itu pada Rabu malam, selepas tiga kali beliau tidak menghadirinya.

“Kalau (Isham) ada pendapat yang lain beliau boleh suarakan (pada Mesyuarat MKT). Setakat ini beliau sudah tiga kali tidak datang mesyuarat MKT.

“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini untuk menyuarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Isham sebelum ini yang menyifatkan kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berpunca daripada pemimpin UMNO yang terlalu mempertahankan DAP.

Mengulas lanjut, Isham meminta Ahmad Zahid untuk menyahut cabaran berdebat dengannya di gelanggang neutral sekiranya beliau memiliki keberanian.

Isham juga berharap agar Ahmad Zahid menyedari, menerima hakikat serta tidak membuat penafian bahawa, lebih ramai orang Melayu kini menolak UMNO berikutan keputusan presiden itu untuk bergabung bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau tidak menolak kemungkinan, UMNO akan hancur dalam tempoh beberapa tahun lagi sekiranya keadaan itu berterusan.

“UMNO adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini.

“Usahlah kerana kepentingan diri, seluruh parti hancur lebur dibuatnya.

“Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya.

Author

Pilihan Editor