HomeBeritaMahkamah & JenayahClare, dua lagi diarah bayar RM300,000 kerana fitnah Sultanah Terengganu

Clare, dua lagi diarah bayar RM300,000 kerana fitnah Sultanah Terengganu

 

PUTRAJAYA: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua pihak lain diarahkan Mahkamah Rayuan, di sini pada Selasa membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu.

Dua lagi pihak ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Sultanah Terengganu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman Sultanah Terengganu terhadap Claire, Ton Sin dan Vinlin Press selaku responden berhubung dakwaan fitnah dalam sebuah buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside IMDB Expose’.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud Sultanah Terengganu terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Terengganu mendakwa kenyataan itu bermakna Sultanah Terengganu ini membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menjadi penasihat TIA.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor