HomeBeritaSivakumar antara tiga nama digugur dari Jemaah Menteri

Sivakumar antara tiga nama digugur dari Jemaah Menteri

CYBERJAYA: Persoalan mengenai rombakan Kabinet yang berlegar-legar di minda rakyat sejak Isnin sudah pun terjawab selepas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengumuman itu dilakukan menerusi satu sidang media yang turut disiarkan di saluran RTM pada jam 11 pagi Selasa.

Rombakan Kabinet itu bukan sahaja menyaksikan beberapa pertukaran menteri dan timbalannya di setiap kementerian, malah terdapat pemimpin yang masih menerajui kementerian sama.

Paling mengejutkan adalah terdapat beberapa pemimpin yang digugurkan, dipercayai tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

V Sivakumar yang sebelum ini menerajui Kementerian Sumber Manusia antara disenarai gugur, sebelum jawatannya digantikan oleh Steven Sim Chee Keong.

Steven Sim sebelum ini memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia pula dipegang oleh Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya.

Ramkarpal (kiri) dan Siti Aminah antara senarai digugur dari Jemaah Menteri.

Malah Timbalan Menteri yang digugurkan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Jawatan Rampkarpal kini digantikan oleh M Kulasegaran, manakala Siti Aminah ditukar dengan Datuk Chan Foong Hin.

Foong Hin sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Author

Pilihan Editor