CYBERJAYA: Rombakan Kabinet menyaksikan Kementerian Kesihatan Malaysia diterajui Dr Dzulkefly Ahmad, menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang kini dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Manakala Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, dilantik sebagai Menteri Luar Negeri sekali gus posisi lama Mohamad kini disandang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sebelum ini merupakan Menteri Pengajian Tinggi.
Menurut Anwar, rombakan Kabinet dibuat berdasarkan penyesuaian dan keperluan semasa bidang-bidang terlibat.
Malah, beliau turut berharap perubahan itu dapat dikekalkan sehingga Pilihan Raya akan datang.
“Kalau keadaan prestasi baik memuaskan, tidak ada tekanan… saya tidak fikir harus ada apa-apa perubahan. Kekal empat tahun sehingga pilihan raya seterusnya,” ujarnya.