HomeBeritaDatuk Zayn Rayyan rayu netizen henti keluar kenyataan singgung perasaan keluarga

Datuk Zayn Rayyan rayu netizen henti keluar kenyataan singgung perasaan keluarga

PETALING JAYA: Keluarga kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin merayu netizen berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mereka.

Zahari Mohd Reba, 55, datuk kepada kanak-kanak malang itu, berkata masyarakat sewajarnya mendapatkan perkembangan kes itu menerusi kenyataan rasmi polis berbanding membuat telahan sendiri.

“Saya mohon netizen janganlah mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan keluarga arwah.

“Biarlah pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja yang mengeluarkan kenyataan. Selagi tidak ada kenyataan, netizen tolonglah tutup mulut (buat kenyataan),” katanya dihubungi, hari ini.

Zahari berkata, arwah adalah cucu sulungnya yang paling disayanginya dan orang ramai berhentilah mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih dengan mengata perkara tidak benar berkaitan ibu cucunya.

Katanya, beliau juga berharap pembunuh cucunya itu segera ditahan dalam masa terdekat selepas membaca berita polis menemui cap jari dan DNA pelakunya.

“Anak saya sentiasa cuba memenuhi kehendak arwah (Zayn Rayyan) setiap hari apa sahaja Zayn mahu dia akan tunaikan.

“Cucu saya juga jika ayah dia memandu kenderaan dia akan berjaga melayan ayahnya ketika ibunya dan adik tidur,” katanya.

Menurutnya, setiap kali ada kelapangan pada Sabtu, beliau akan membawa cucunya itu pergi berjalan-jalan kerana mereka terlalu rapat.

“Cucu saya memang rapat dengan saya dan dia suka mandi laut (pantai) atau kolam dan hiking (mendaki). Saya memang suka hiking dan sebab itu saya cungkil bakat arwah suka melakukan aktiviti luar,” katanya.

Terdahulu, Zahari melalui Facebook memohon supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih sehingga mengguris perasan keluarganya.

“Salam semua di luar sana, saya mewakili waris Arwah ZAYN RAYYAN@Tok Ayah arwah, memohon supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sohih yang mengguris perasan keluarga kami.

“Setiap hari keluarga kami menghadapi gangguan emosi, Zayn Rayyan adalah cucu kesayangan kami,” katanya dalam kiriman itu.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Sungai Buloh kira-kira jam 10 malam Rabu lalu. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor