HomeBeritaPelajar sekolah asrama penuh larikan diri akibat dibuli

Pelajar sekolah asrama penuh larikan diri akibat dibuli

KUALA LUMPUR: Pelajar sebuah sekolah berasrama penuh, Muhammad Danial Akmal Zulkhairi, 14, yang dilaporkan hilang kelmarin dipercayai dibuli.

Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata, anaknya yang sudah ditemui orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, di sini malam tadi mengakui dibuli dengan teruk.

Menurutnya, akibat kejadian buli itu, Muhammad Danial yang mesra disapa sebagai Enel bertindak nekad untuk melarikan diri dari sekolah pada jam 3 pagi, Khamis lalu.

“Kejadian itu didedahkan sendiri oleh anak saya kenapa dia begitu tekad untuk melarikan diri dari sekolah pada awal pagi itu. Enel sudah tidak tahan dan tidak mampu untuk menghadapi perbuatan buli yang sangat teruk dilakukan kepadanya.

“Ini bukan kali pertama Enel dibuli. Sebelum ini dia pernah juga dibuli, namun saya dinasihatkan untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik dan tidak mendakwa si pelaku,” katanya.

Susulan kejadian buli yang berlaku itu, Shuhada berkata, tindakan perundangan akan diambil oleh pihaknya berhubung kejadian buli itu.

Katanya, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjungkan nasib anaknya kerana dibuli dengan sangat teruk.

“Ini kali kedua kejadian buli yang sangat teruk berlaku kepada Enel. Saya tidak boleh berdiam diri lagi.

“Saya akan ‘fight’ (lawan) perkara ini dan mengambil tindakan tegas supaya keadilan dapat ditegakkan,”katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penemuan Enel, Shuhada berkata, anaknya itu ditemukan dalam keadaan sangat lemah kerana tidak makan.

Menurutnya, Enel hanya makan sekali sahaja pada hari pertama sejak melarikan diri dari sekolah, sekadar menjamah roti dan minum air yang diberikan oleh seorang individu.

Katanya lagi, Enel melarikan diri dari asrama sekolah sehelai sepinggang dan tidak membawa dompetnya bersama.

“Ketika bertemu dengan Enel pada malam tadi (Jumaat), dia kelihatan sangat tidak terurus dan seolah-olah macam orang gelangdangan.

“Saya tidak pernah melihat Enel sebegitu rupa. Namun saya sekeluarga amat bersyukur kerana Enel ditemui dalam keadaan selamat,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor