HomeHiburanErnie Zakri, 3 komposer tidak teragak-agak tarik diri dari SFMM38

Ernie Zakri, 3 komposer tidak teragak-agak tarik diri dari SFMM38

PENYANYI, Ernie Zakri meluahkan kekecewaan dengan tindakan syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment yang menggantikan penyanyi asal Astana kepada penyanyi, Nadeera di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) tanpa pengetahuannya.

Ernia atau Nur Ernie Shahirah, 31 berkata, pihaknya tidak menerima sebarang emel mahupun pemberitahuan berhubung keputusan tersebut.

Malah, Ernie dan tiga komposer dan penulis lirik lain iaitu Omar K, Shazriq Azeman serta Syamel tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada SFMM38.

“Saya mendapat perkhabaran lagu ini dicalonkan di SFMM38 dan lagu ini juga mendapat penyanyi gantian apabila menggantikan saya sebagai penyanyi asal untuk lagu Astana.

“Ini adalah di luar pengetahuan saya sebagai penyanyi asal dan komposer. Saya tidak mendapat sebarang emel atau surat rasmi daripada mereka.

“Jika perkara ini berterusan saya dan tiga komposer lain berhak tarik diri daripada menyertai SFMM38,” katanya menerusi satu video tular di X.

Sebelum ini, pengumuman Nadeera sebagai pengganti Ernie menerusi lagu Astana mengejutkan ramai pihak terutama dalam kalangan peminat dan Ernie sendiri.

Bagaimanapun, Rocketfuel dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan terbabit dicapai atas persetujuan Ernie yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu terbabit.

“Ketiadaan penyanyi asal lagu Astana di SFMM38 telah menimbulkan banyak spekulasi dan persoalan di kalangan peminat muzik tanah air.

“Pihak Rocketfuel Entertainment menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan penyanyi asal lagu Astana untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Namun begitu, Ernie tampil menafikan kenyataan yang dikeluarkan bekas syarikat rakamannya itu apabila mengatakan dia enggan menyanyikan lagu itu.

Ernie yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music menjelaskan, apa yang menjadi halangan untuk mempersembahkan lagu itu disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Media Prima Berhad (MPB).

Author

Pilihan Editor