HomeBeritaGaduh dengan isteri punca 'driver' Civic rempuh motosikal

Gaduh dengan isteri punca ‘driver’ Civic rempuh motosikal

TINDAKAN melulu seorang suspek yang ingin melarikan diri daripada isteri selepas berlaku pertengkaran membawa padah apabila suspek bertindak luar batasan sehingga melanggar sebuah motosikal sebelum melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohammad Nasir berkata, video tersebut memaparkan sebuah kereta jenis Honda Civic merempuh sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.

Katanya, hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian itu berlaku pada Rabu jam 3.30 petang di Jalan Tun Teja 3, Taman Tun Teja, Rawang, Selangor.

“Kejadian berlaku semasa pemandu kereta hendak melarikan diri daripada isterinya selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mangsa yang pada masa itu berada di tempat kejadian cuba menghalang pemandu kereta, namun dia telah dirempuh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian siku, tangan serta kaki.

Kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Agilan Iswaran di talian 019-5230801 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor