HomeBeritaMahkamah & JenayahNajib mohon dilepaskan tanpa dibebaskan kes ubah wang haram

Najib mohon dilepaskan tanpa dibebaskan kes ubah wang haram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib hari ini memohon agar dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta.

Peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan tersebut selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memberitahu pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas terhadap representasi yang dihantar pada 31 Julai lalu.

“Kes ini tertangguh selama lima tahun setengah dan pengurusan kes telah dijalankan beberapa kali.

“Untuk tidak memprejudiskan mana-mana pihak terutamanya anak guam saya, saya mencadangkan agar mahkamah mengeluarkan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Sekiranya (pihak pendakwaan) mempunyai keputusan berbeza atau mempunyai perkembangan lain, kes boleh dikemukakan semula. Pada masa itu, mahkamah boleh memutuskan sama ada untuk meneruskan kes di peringkat ia terhenti atau sebaliknya,” kata Muhammad Shafee.

Mohd. Ashrof kemudian bangkit dan menjelaskan bahawa kes ini ditangguhkan atas persetujuan bersama kedua-dua pihak bagi membolehkan pembelaan memberi tumpuan kepada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Kes disebut di Mahkamah Tinggi pada April 2019 dan pada ketika itu kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan kes sehingga perbicaraan SRC (seleweng dana RM42 juta) selesai sepenuhnya.

“Perbicaraan SRC (seleweng dana RM42 juta) berakhir pada Ogos 2022 dan semakan tamat pada Mac 2023.

“Representasi dihantar pada 31 Julai lalu dan diterima pada 2 Ogos lalu. Dalam tempoh itu sehingga hari ini, kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes sebanyak tiga kali termasuk hari ini,” kata pendakwa raya itu.

Sehubungan itu, Mohd. Ashrof memohon agar pihaknya diberikan tarikh akhir pengurusan kes tersebut bagi membolehkan beliau mendapatkan jawapan representasi.

Menjawab pertanyaan Hakim K. Muniandy mengenai kelewatan Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi itu, Mohd. Ashrof memberitahu kerana kes itu membabitkan individu berprofil tinggi.

“Kes turut membabitkan dokumen yang banyak dan pertimbangan juga perlu mengambil kira kes-kes (Najib) yang masih berjalan,”ujar Mohd. Ashrof.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan 19 Januari 2024 sebagai tarikh akhir untuk Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Utusan

Authors

Pilihan Editor