HomeGlobalWanita hamil trauma tikus jatuh atas dulang, bimbang risiko kencing tikus

Wanita hamil trauma tikus jatuh atas dulang, bimbang risiko kencing tikus

SEORANG wanita hamil 16 minggu mengalami trauma, selepas seekor tikus jatuh ke atas meja makannya pada Sabtu lalu.

Kejadian itu berlaku ketika dia sekeluarga sedang makan tengah hari di medan selera Pasar Tangs di Orchard Road, Singapura.

Menerusi video tular, haiwan perosak itu dilihat berada di atas dulang makanan dan menggerakkan kakinya.

Ibu wanita itu yang hanya dikenali sebagai Lim berkata, kejadian tersebut menyebabkan anak perempuannya yang berusia 27 tahun bukan sahaja mengalami trauma, malah khuatir akan kesihatan bayi yang dikandungnya.

Sementara itu, tangkap layar perbualan WhatsApp antara Lim dan pengurus Pasar Tangs memaparkan bahawa, premis tersebut menawarkan hamper kesihatan dan kad hadiah bernilai S$200 (RM699) kepada keluarga berkenaan.

Namun, keluarga Lim menolak kedua-dua tawaran tersebut.

“Saya hanya mahu dilayan secara adil. Mereka perlu bertanggungjawab ke atas semua kos yang berkaitan dengan insiden ini,” katanya seperti dilapor CNA.

Pada masa sama, Pasar Tangs sudah pun membuat permohonan maaf kepada keluarga itu dan menutup premis selama sehari bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.


Wanita hamil dan kandungan selamat

Mengulas lanjut mengenai babak kejadian, Lim berkata, anaknya yang ketika itu sedang makan pada mulanya merasakan ada cecair menitis di tangannya.

Malah, cecair itu mengotorkan pakaian yang dipakai oleh anaknya.

Apabila anaknya mendongak untuk mencari punca cecair itu, dia melihat kelibat tikus tersebut sekali gus menyebabkannya berdiri dan berundur dari tempat duduknya.

Tidak beberapa lama kemudian, haiwan itu terjatuh ke atas dulang makanannya.

“Sambil menjerit, dia berlari ke arah kami dan mengatakan mahu mencuci tangannya,” kata Lim.

Keluarga itu kemudian bergegas ke jabatan kecemasan di Hospital Gleneagles manakala bil rawatan yang dikenakan mencecah S$1,152.06 (RM4,029).

Isnin lalu, wanita hamil itu sudah pun berunding dengan pakar sakit puan dan diberi ubat antibiotik dan probiotik, berikutan risiko pencemaran daripada haiwan tersebut dan potensi leptospirosis.

Leptospirosis atau kencing kencing tikus merupakan penyakit yang menjejaskan manusia dan haiwan dan boleh menyebabkan pelbagai gejala.

Komplikasi penyakit itu termasuk kerosakan buah pinggang dan kegagalan hati.

Menerusi memo perubatan, doktor mengesahkan kesejahteraan kedua-dua janin dan ibu ketika rawatan pada 27 November lalu.

Author

Pilihan Editor