HomeGlobalHanya bayar bawah RM10, pelanggan restoran rela ditampar

Hanya bayar bawah RM10, pelanggan restoran rela ditampar

ANEH tetapi benar. Demikian situasi yang berlaku di sebuah restoran makanan Jepun apabila menawarkan perkhidmatan pelik untuk menarik para pelanggan.

Masakan tidak, pelanggan di restoran Shachihoko-ya, yang terletak di Nagoya rela ditampar di muka mereka sebelum makanan dihidangkan.

Dengan hanya bayaran sebanyak 300 Yen (RM9.54), pelayan wanita berpakaian kimono menampar muka pelanggan berulang kali.

Malah, bayaran sebanyak 500 Yen (RM15.90) dikenakan kepada pelanggan yang meminta pekerja tertentu untuk menampar mereka.

Lapor NDTV, perkhidmatan itu terkenal dalam kalangan rakyat Jepun serta pelancong asing.

Video mengenai perkara itu turut dikongsi di laman X Bangkok Lad dengan kapsyen: “Ini adalah Shachihoko-ya, sebuah restoran di Nagoya, yang mana anda boleh melanggan menu yang dipanggil ‘Nagoya Lady’s Slap dengan harga 300 Yen (RM9.54).

“Semakin kuat pekerja wanita menampar mereka, semakin teruja para pengunjung. Pengunjung bukan sahaja tidak marah, malah mereka kelihatan tenang selepas dipukul. Mereka juga akan berterima kasih kepada kakitangan yang memukul mereka,” kata suara latar di saluran YouTube ‘Save Your Money In Japan’.

Perkhidmatan kontroversi yang dimulakan sejak 2012 itu menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan yang bersedia untuk mencuba pengalaman tersebut.

Pada mulanya, hanya seorang pekerja wanita yang melakukan khidmat itu, namun pihak pengurusan restoran memutuskan untuk mengambil lebih ramai pekerja wanita selepas permintaan semakin meningkat.

Namun, restoran itu kini sudah pun menghentikan perkhidmatan itu selepas video terbabit tular di media sosial.

Menerusi hantaran di X, restoran itu menggesa orang ramai supaya tidak berkunjung ke premis itu semata-mata untuk mengharapkan tamparan.

“Shachihoko-ya pada masa ini tidak menawarkan khidmat tamparan. Kami menghargai perhatian anda pada hari ini, tetapi kami tidak dapat menerima pelanggan yang datang dengan niat untuk ditampar. Kami tidak sangka video lama menjadi tular seperti ini, harap anda sedia maklum akan keputusan kami,” tulis restoran itu.

Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama perkhidmatan itu akan dikembalikan tidak lama lagi atau mereka akan terus menghentikannya.

Author

Pilihan Editor