SEORANG lelaki tergamak mengheret isterinya keluar dari kereta di tengah-tengah kesesakan lalu lintas di Hangzhou, timur China, pada 7 Disember lalu.
Lelaki yang memandu kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) Porsche tersebut pada mulanya membuka pintu kenderaan dan menarik keluar isterinya yang ketika itu memeluk anak lelaki mereka.
Ketika suami isteri itu sedang bertengkar, anak mereka yang dilihat buntu, menangis dan terbaring di atas jalan raya sesak itu diselamatkan oleh orang awam.
Individu tersebut memberhentikan keretanya di bahu jalan, sebelum membawa kanak-kanak tersebut di lokasi yang lebih selamat serta menegur kelakuan suami isteri berkenaan.
Video memaparkan insiden tersebut kini tular di media sosial dan mendapat lebih lapan juta tontonan setakat ini.
Difahamkan, suami isteri itu bertengkar mengenai isu pendidikan anak mereka.
Sementara itu, lelaki tersebut sudah pun membuat permohonan maaf kepada isteri dan orang ramai atas kejadian berkenaan.
“Saya tidak akan mengulangi perkara itu lagi. Saya akan cuba berbaik-baik dengan isteri saya.
“Saya berterima kasih kepada individu yang menyelamatkan anak saya tepat pada masanya,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.
Pada masa sama, wanita itu turut meminta maaf kepada suaminya dan menyatakan bahawa dia tidak sepatutnya bertengkar ketika suaminya sedang memandu.
September lalu, seorang lelaki di wilayah Hubei dirakam memukul dirinya sendiri dan menghentak kaki ketika memarahi isterinya yang didakwa curang.
Pada bulan sama, pasangan suami isteri yang bergaduh dikecam kerana membiarkan anak mereka menangis di pintu pagar sekolahnya.