HomeBeritaKeluarga terkejut teman lelaki Bella dibebas

Keluarga terkejut teman lelaki Bella dibebas

BATU PAHAT: Tindakan polis membebaskan teman lelaki Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella masih menjadi tanda tanya ahli keluarga wanita itu ketika usaha menjejakinya belum menemui noktah.

Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 6 petang semalam selepas direman sejak 25 Disember lalu.

Kakaknya, Norhisham, 36, berkata, mereka juga terkejut sebaik dimaklumkan mengenai pembebasan teman lelaki adiknya berusia 24 tahun.

“Kami kecewa seolah-olah tiada keadilan untuk kami, sedangkan kami hanya mahu berjumpa Bella yang masih belum ada perkembangan ketika ini.

“Lagipun, dia orang terakhir bersama Bella, sebelum dilaporkan hilang pada keesokannya. Kami sendiri tidak tahu apakah kesudahan kes ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, timbul satu lagi misteri apabila pihak polis bertanyakan Norhisham mengenai individu memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz.

Norhisham berkata, polis bertanyakan padanya mengenai perkara itu selepas teman lelaki Bella memberitahu adiknya dibawa menaiki MPV terbabit selepas diturunkan di hadapan kedai tom yam di Jalan Kenanga.

“Mereka (polis) tanya saya kenal tak kawan teman lelaki Bella (menaiki Perodua Aruz). Dalam laporan dibuat teman lelakinya, dia memberitahu Bella menaiki MPV itu.

“Saya beritahu tak kenal dan apabila semakan dibuat melalui CCTV (kamera litar tertutup), tiada langsung pergerakan kenderaan yang dimaksudkan.

“Kami jadi pening adakah ia rekaan semata-mata atau ada sesuatu yang hendak disembunyikan,” katanya dengan nada sedih.

Katanya, dia yakin teman lelaki Bella adalah individu terakhir yang dilihat bersamanya pada malam 14 Disember lalu sebelum hilang keesokannya.

“Telahan saya ketika ini mengatakan ada pihak sedang melakukan sesuatu pada adik saya. Cuma kami tidak dapat meneka siapa pihak dimaksudkan.

“Kini, kami perlu menunggu laporan siasatan yang sepatutnya diserahkan pada kami hari ini (selepas 14 hari) daripada laporan polis pertama dibuat (16 Disember),” katanya.

Teman lelaki Bella yang sepatutnya menjalani tempoh reman sehingga hari ini dibebaskan dengan jaminan polis, semalam disebabkan faktor kesihatan.

Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Kehilangan Bella masih menjadi misteri selepas wanita itu keluar bersama teman lelaki pada jam 11.50 malam untuk ke kedai dobi.

Namun, mereka didakwa tidak ke dobi sebaliknya melencong ke tempat lain. Malah, pakaian belum dicuci yang dibawa pada malam kejadian juga dipulangkan semula ke rumah Bella pada keesokannya. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor