IPOH: Bintang seni tanah air, Datuk M Daud Kilau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan sekitar jam 4.40 petang pada Isnin.
Berita duka itu disampaikan anaknya, Ahmad Zaini, 52, kepada pemberita menerusi pesanan ringkas aplikasi WhatsApp yang memaklumkan kesihatan bapanya itu tidak stabil sejak dimasukkan ke hospital, minggu lalu.
Penyanyi berusia 85 tahun itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas.
Sepanjang rawatan, beliau dalam pemantauan rapi doktor dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Penyanyi yang mendapat julukan Raja Gelek Malaysia itu berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu dan pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lepas.
Tahun lalu, ketika ditemui pemberita, pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu menyatakan hasrat masih mahu terus menghiburkan peminat, namun terpaksa dilupakan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Kali terakhir beliau beraksi di pentas adalah sekitar tujuh tahun lalu dan selepas itu tidak lagi aktif biarpun masih menerima jemputan untuk membuat persembahan.
M Daud Kilau atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau mula menceburi bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Anak kelahiran Bagan Datuk itu kemudiannya terus mencipta nama sebagai artis rakaman memuatkan lagu bergenre langgam, asli serta dangdut dan pernah menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori Nyanyian Asli pada tahun 1985.
Bagi menghargai jasanya dalam dunia seni, beliau dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 yang membawa gelaran Datuk.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk pada Selasa. – Sinar Harian