PUCHONG: Kerja awalan menanam cerucuk dilakukan serta-merta di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada Sabtu.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan langkah penyelesaian sementara yang diambil bagi mengawal pergerakan tanah.
Menurutnya, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim telah mengarahkan agar tindakan segera dan jangka panjang diambil iaitu menutup sementara kawasan runtuhan dengan kanvas.
“Beliau turut meminta kerja-kerja pengukuhan tebing dilaksanakan menggunakan kaedah ‘sheet pilling’ sepanjang 150 meter.
“Selain itu, siasatan dan kajian tanah dilaksanakan segera untuk menentukan reka bentuk pembinaan semula tebing runtuhan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.
Mohd Fauzi bersama Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan serta Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Mohd Ariffuddin Kamari telah meninjau lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 7.26 malam Sabtu, tujuh rumah terpaksa dikosongkan selepas berlaku tanah runtuh di hadapan sebuah rumah.
MBSJ berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3 telah mula dibuka sejak hari kejadian bagi menempatkan lapan keluarga yang terlibat dalam kejadian itu. – Sinar Harian