RIBUAN tan ikan termasuk sardin yang hanyut di pantai di utara Jepun, menyebabkan pihak berkuasa buntu mencari penyelesaian.
Menurut laporan media antarabangsa, ikan tersebut dihanyutkan ke darat Hakodate, Hokkaido pada pagi Khamis.
Susulan itu, penduduk tempatan dilapor mula mengutip dan menjual ikan-ikan terbabit.
Meskipun punca sebenar kejadian misteri itu tidak diketahui, pakar tampil mencadangkan beberapa kemungkinan.
Ini termasuk spekulasi mengenai pembebasan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima.
Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Hakodate, Takashi Fujioka berkata, beliau pernah mendengar fenomena sama berlaku sebelum ini, namun ini adalah kali pertama dilihatnya.
Jelasnya, ikan tersebut berkemungkinan lari dari ikan pemangsa dan mengalami keletihan akibat kekurangan oksigen, ketika bergerak dalam kumpulan yang besar dan dihanyutkan ombak ke pantai.
“Kami tidak tahu punca ikan ini terdampar di pantai, jadi saya tidak mengesyorkan anda memakannya,” kata Fujioka seperti dilapor NDTV.
Apa agaknya punca ikan terdampar di pantai Jepun ketika ini ya?
Sumber: X @samuelculper3rd pic.twitter.com/Bn3gntCJk0
— Media Variasi (@mediavariasi_) December 11, 2023
Oktober lalu, Jepun mengeluarkan air sisa dari loji nuklear Fukushima yang lumpuh, seterusnya menyebabkan kecaman beberapa negara seperti China.
Pada 24 Ogos, Jepun melepaskan sebahagian daripada 1.34 juta tan air sisa yang dikumpulkan sejak 2011 ke Lautan Pasifik.
Loji janakuasa Fukushima musnah selepas bencana gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011.
China mengharamkan semua import makanan laut Jepun, meskipun Tokyo menegaskan operasi membuang air sisa itu tidak menimbulkan sebarang risiko.