SEORANG pengawal keselamatan restoran makanan segera terkenal, McDonald’s bertindak biadab apabila melakukan kerja-kerja pembersihan tidak kena tempat sehingga menyusahkan orang awam.
Menerusi video tular, pengawal itu melakukan perkara tersebut ketika seorang gelandangan sedang duduk berehat di kaki lima, dekat luar restoran berkenaan yang terletak di London, United Kingdom (UK) pada Sabtu.
Difahamkan, tindakan itu dibuat bagi menghalau gelandangan itu yang dikenali Aaron McCarthy, 25, jauh dari premis terbabit.
Dalam video sama, pengawal itu dilihat menendang selimut McCarthy sebelum membasahkan lantai dengan air sabun.
Ini juga mengakibat selimut milik McCarthy basah akibat terkena air cucian tersebut.
“Lelaki itu mula mengemop lantai dan menendang barang saya sehingga basah. Ia menjijikkan.
“Saya terpaksa beredar dari situ kerana saya sangat tertekan. Saya tidak tidur sepanjang malam kerana selimut saya telah basah. Sehingga kini, saya masih boleh menghidu bau peluntur pada selimut saya,” kata McCarthy seperti dilapor New York Post.
McCarthy menambah bahawa, dia sudah pun merendam selimutnya di dalam air bagi menghilangkan bau peluntur tersebut.
Seorang saksi dikenali sebagai Damons Evans, yang merakam insiden itu menyifatkannya tindakan pengawal terbabit amat melampau dan melanggar undang-undang.
Dia yang memuatnaik video itu di laman X turut menyeru McDonald’s UK bagi meluahkan kemarahannya.
“Adakah anda fikir ia boleh diterima apabila kakitangan anda merendam beg tidur gelandangan ketika musim sejuk?
“Tingkah laku (kakitangan) ini menjijikkan. Dia (gelandangan) tidak berada di luar kawasan premis anda,” katanya.
Sementara itu, McDonald’s tampil memohon maaf, meluahkan rasa kesal dan terkejut atas kejadian tersebut.
Menurut McDonald’s, pengawal tersebut sudah pun dipecat, manakala semua kakitangan diingatkan untuk memberi layanan baik kepada semua orang.
“Kami ingin memohon maaf sepenuh hati kepada lelaki yang ada dalam video itu dan kami akan bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mencarinya.
“Ini bagi menebus kesalahan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab berterusan kami, untuk menyokong badan amal gelandangan di dalam dan sekitar kawasan terbabit,” tulis McDonald’s di laman X.