SEORANG lelaki terpaksa reda selepas kehilangan dua batang giginya, akibat diserang oleh pemilik kedai dumpling pada 13 Disember lalu.
Lapor South China Morning Post, insiden yang berlaku di wilayah Jiangsu, dekat timur China itu tercetus apabila pelanggan tersebut menambah cuka ke dalam hidangannya.
Tindakan lelaki itu menambah bahan perasa ke dalam hidangannya pada setiap kali berkunjung ke premis tersebut menyebabkan pemilik premis berang dan bertindak menampar mangsa.
“Awak tidak dibenarkan menambah cuka.
“Awak mengambil terlalu banyak cuka setiap kali datang ke sini. Jadi, lebih baik awak tidak lagi datang ke sini. Keluar dari sini,” kata pemilik premis itu sambil menghalau mangsa.
Pada masa sama, seorang pelayan di premis itu turut bertindak meleraikan konflik tersebut.
Meskipun berasa terkejut, pelanggan terbabit tetap tenang dan meminta pemilik premis untuk duduk sementara dia menghabiskan makanannya.
Namun, aksinya yang bersahaja menjadikan pemilik premis menjadi lebih berang.
“Saya pemilik kedai ini. Awak mesti keluar apabila saya meminta berbuat demikian,” jerit pemilik premis itu.
Dia kemudian meminta pelanggan itu untuk menjelaskan bil sebanyak 10 yuan (RM6.49).
Pelanggan itu bagaimanapun tidak melawan, namun apabila dia bertembung dengan pemilik premis tersebut dalam perjalanan untuk keluar, suspek bertindak lebih agresif.
Dia kemudian melarikan diri ke jalanan sebelum dikejar dan dibelasah pemilik premis, seterusnya mengakibatkan kecederaan dan menyebabkan giginya turut patah.
Kejadian itu masih dalam siasatan pihak polis dan menyebabkan kecaman meluas di negara Tanah Besar tersebut.
April lalu, seorang wanita di Beijing menimbulkan kemarahan orang ramai, apabila dia bertindak membuli pemilik kedai runcit supaya tidak menjual makanan ringan dan manis kepada kanak-kanak.
Pada 2016, seorang pemilik kafe di selatan China dipaksa memakan lipas oleh seorang pelanggan yang mendakwa, dia menemui serangga perosak itu pada hidangan mi gorengnya.
Pelanggan itu kemudian meminta pampasan sebanyak 5,000 yuan (RM3,245), namun pemilik kedai tersebut mengesyaki ia merupakan satu penipuan dan enggan membayarnya sebelum menelan lipas berkenaan.