HomeBeritaPolitikSaya ditawarkan sertai Kabinet, tapi tolak – Bung Moktar

Saya ditawarkan sertai Kabinet, tapi tolak – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar mendedahkan beliau turut ditawarkan menyertai Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi menolaknya kerana ingin menumpukan usaha memperkukuhkan parti itu di Sabah.

Justeru menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu tidak timbul isu adanya persepsi negatif bahawa UMNO Sabah dipinggirkan dalam rombakan Kabinet Persekutuan baru-baru ini.

Malah beliau menyifatkan persepsi tersebut hanya sekadar cubaan untuk melemahkan kesepaduan di dalam UMNO.

Dalan rombakan Kabinet Persekutuan baru-baru ini Ahli Parlimen Beaufort, Sabah daripada UMNO Datuk Siti Aminah Aching digugurkan sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Menurut Bung Moktar barisan Kabinet baharu menampilkan dua wakil UMNO dilantik iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi manakala, Datuk Noraini Ahmad sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Pelantikan ini dilakukan atas kapasiti mereka dalam organisasi parti, Johari sebagai Naib Presiden UMNO dan Noraini sebagai Ketua Wanita.

Menurut beliau, tawaran menyertai Kabinet Persekutuan itu cukup untuk menepis dakwaan pihak tertentu bahawa UMNO Sabah dipinggirkan dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, kuasa melantik Jamaah Kabinet Persekutuan adalah hak mutlak Perdana Menteri maka, keputusan yang dibuat tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Pihak luar hanya pandai membuat persepsi. Kita di dalam lebih maklum tujuan mereka hanya ingin melemahkan UMNO khususnya di Sabah. Maka, andaian ahli UMNO Sabah terpinggir adalah satu tanggapan negatif yang bertujuan melemahkan UMNO Sabah,” katanya.

Sementara itu, Siti Aminah berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka kerana beliau tahu soal lantikan Jemaah Menteri adalah atas budi bicara Perdana Menteri.

“Saya berlapang dada menerima pengguguran ini. Saya juga ingin memberi ruang kepada rakan seperjuangan, Noraini selaku Ketua Wanita UMNO untuk kembali berkhidmat di dalam Kabinet,” katanya.

Katanya, beliau kini ingin memberi fokus untuk berkhidmat di kawasan terutama di Parlimen Beaufort. – Utusan

Authors

Pilihan Editor