CYBERJAYA: ‘Saya sedar khilaf saya kerana melakukan sesuatu yang tidak manis dengan imej saya’.
Demikian ungkapan pelakon, Zara Zya susulan menerima kecaman teruk gara-gara melakukan adegan dipeluk lelaki dalam video teaser sebuah drama baru-baru ini.
Zara atau Zainurul Razia, 38, memohon maaf atas perbuatannya itu dan nekad untuk lebih menjaga batas sebagai seorang muslimah bertudung pada masa akan datang.
“Rasa sedikit ralat dan menyesal pun ada juga sebab saya tidak fikir panjang.
“Sepatutnya benda seperti itu tidak berlaku sekali gus tidak timbul isu sebegini.
“Sebagai manusia yang banyak khilaf, saya terlepas pandang hal tidak sepatutnya. Dunia lakonan ini luas kalau saya terangkan, benda akan jadi panjang,” katanya memetik Kosmo.
Dalam pada itu, pelakon drama Risik Pada Hati itu turut menjelaskan bahawa babak dirangkul itu bukanlah dibuat semata-mata ingin mencetuskan kontroversi.
“Saya tidak tahu akan mengakibatkan perdebatan dalam kalangan penonton. Saya bukan selebriti yang mahu kontroversi.
“Semestinya sedih tetapi nak buat macam mana, mereka yang hilang hormat kepada saya pun manusia biasa juga tetapi jangan terlalu ikut perasaan. Bagi saya peluang kedua untuk betulkan khilaf.
“Saya berterima kasih kepada sesiapa yang menegur dan yang kecam tidak mengapa harap dapat terima dengan hati terbuka,” ungkapnya.
Zara mengulas isu berkenaan ketika ditemui pada tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur, di Petaling Jaya, semalam.
Sebelum ini, tular video teaser sebuah drama menunjukkan babak Zara dipeluk oleh Syarul Ezani.
Aksi terbabit nyata mengundang kecaman dalam kalangan netizen memandangkan penampilan Zara yang kini sudah bertudung.