HomeBeritaSimen depan pagar rumah runtuh selepas pergerakan tanah

Simen depan pagar rumah runtuh selepas pergerakan tanah

 

PUCHONG: Terdapat pergerakan tanah dikesan pada Ahad, di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pergerakan tanah itu dikesan jam 3.30 petang, semalam.

“Pergerakan tanah di lokasi kejadian itu menyebabkan simen di hadapan pintu pagar beberapa rumah runtuh.

“Sebanyak 46 cerucuk besi dilaporkan ditanam dan kerja-kerja itu akan disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, sebuah Honda City yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu berjaya dikeluarkan menggunakan kren kira-kira 6 petang semalam.

“Lapan orang daripada satu keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah keluar dan secara rasminya PPS terbabit ditutup 9 malam tadi.

“Keadaan di lokasi tanah runtuh terbabit akan dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam Sabtu lalu, seramai 29 penghuni di sembilan rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan terbabit diarahkan berpindah selepas berlaku runtuhan tanah.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan empat kenderaan terjunam ke dalam runtuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor