HomeHiburanSiti Nordiana tarik balik saman RM2.5 juta, bermaafan atas dasar persahabatan

Siti Nordiana tarik balik saman RM2.5 juta, bermaafan atas dasar persahabatan

KEMELUT dua tahun yang berlaku di antara penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan berakhir secara baik pada Selasa.

Ini berikutan penyanyi berusia 39 tahun itu selaku plaintif dan lima sekawan tersebut bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah berserta terma-terma penyelesaian.

Lima sekawan itu ialah penyanyi Lan Solo, Syura Badron; isteri Lan, Nur Sheila Hassim; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.

Difahamkan, mereka membuat keputusan itu atas dasar persahabatan yang terjalin selama ini.

Antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu ialah: “Permohonan maaf ini, adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini. Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang.”

Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Terdahulu, peserta All Stars Gegar Vaganza itu memfailkan saman RM2.5 juta terhadap Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, Syura (Zuraidah Badron), isteri Lan, PR FMC dan jurumekap artis kerana menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya menerusi satu siaran langsung di Instagram.

Kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati. – Sinar Harian

Author

Pilihan Editor