HomeBeritaMahkamah & JenayahRemaja dakwa dirogol bapa tiri sejak berumur 12 tahun

Remaja dakwa dirogol bapa tiri sejak berumur 12 tahun

ISKANDAR PUTERI: Seorang remaja perempuan warga Filipina mendakwa menjadi hamba seks bapa tirinya sejak tujuh tahun lalu, ketika berusia 12 tahun.

Remaja 18 tahun itu tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol lagi di sebuah rumah di Horizon Hill, di sini pada 24 November lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 10.30 malam yang sama, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat selesai dilakukan.

“Mangsa yang tidak lagi tinggal sebumbung dengan bapa tirinya selepas kejadian itu mendakwa dia sudah dirogol suspek sejak berusia 12 tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rahmat berkata, hasil semakan mendapati suspek yang juga warga tempatan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencingnya juga negatif dadah.

Hasil soal siasat, suspek yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu tidak mengaku dan menafikan bahawa dia ada melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Lima individu termasuk doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa kemudian dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan lain-lain bukti dan melengkapkan kertas siasatan bagi pertuduhan di mahkamah,” katanya. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor