HomeHiburanTiket laris dalam tempoh dua jam, Siti Nurhaliza minta maaf buat peminat...

Tiket laris dalam tempoh dua jam, Siti Nurhaliza minta maaf buat peminat yang kecewa

KUALA LUMPUR: Terharu dengan jualan tiket yang laris dan ‘sold out’ dalam tempoh dua jam, penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bagaimanapun memohon maaf kepada peminat-peminat yang tidak dapat membeli untuk menyokongnya di Konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’.

Jualan tiket untuk konsert yang bakal berlangsung pada 9 Mac 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil itu telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan meskipun sehari selepas itu, seluruh umat Islam di Malaysia bakal menyambut bulan Ramadan.

“Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam. Maafkan saya kepada yang tak dapat membelinya. Saya minta maaf sedalam-dalamnya juga.

“Saya memahami ada yang mencuba dan tidak sempat mendapatkannya. Ada rezeki di persembahan yang lain nanti. Doakan saya,”katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

Menerusi tinjauan di ruangan komen, segelintir netizen meluahkan rasa kecewa kerana tidak sempat membeli tiket konsert penyanyi nombor satu negara itu.

Malah, ada antaranya meminta agar Siti melakukan konsert tersebut selama dua hari dan di lokasi yang lebih besar.

Sebelum itu, rata-rata peminat dilihat meluahkan rasa teruja apabila penyanyi ini mengumumkan berita gembira tersebut di media sosialnya.

Lebih teruja, harga tiket yang dijual mulai hari ini dikatakan sangat berbaloi dan murah jika dibandingkan dengan harga tiket beberapa penyanyi lain.

Namun begitu, ada segelintir individu tampil mempersoalkan mengapa Siti bakal mengadakan konsert disaat peperangan di Palestin masih belum selesai.

Untuk info, jualan tiket konsert berkenaan dibuka pada harga serendah RM129 hingga RM799 di www.klticketing.com. – Utusan

Authors

Pilihan Editor