HomeSukan'Selangor layak ke ACL 2 secara merit'

‘Selangor layak ke ACL 2 secara merit’

PRESIDEN Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid menyifatkan Selangor layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 secara merit selepas muncul naib juara Liga Super.

Faizal bagaimanapun tidak menafikan sumbangan besar Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam membantu menaikkan Liga Malaysia (Liga M) untuk mendapat slot beraksi di pentas Asia.

“Selangor layak secara merit atas usaha pasukan selepas menewaskan Kedah dan muncul naib juara Liga Super. Sekiranya tak berjaya dapat naib juara Liga Super, Selangor tetap tidak akan layak.

“Namun, kita tidak boleh nafikan sumbangan JDT terhadap ranking Malaysia selain kejayaan mereka muncul juara Piala FA membolehkan slot ke ACL 2 diberikan kepada naib juara Liga Super.

“Terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atas sumbangan beliau termasuk dalam memajukan bola sepak Malaysia,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, media melaporkan kejayaan JDT ‘menyapu bersih’ semua trofi domestik pada musim ini membuka pintu kepada pasukan lain untuk turut beraksi di pentas Asia.

Tunku Ismail yang juga pemilik JDT menerusi komen di laman sosial berkata, ia juga turut dibantu dengan kerja keras skuad Harimau Selatan yang menghimpun mata demi mata apabila beraksi di pertandingan Asia selama ini.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Esteban Solari akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit musim depan selepas menjuarai Liga Super musim ini dan disebabkan JDT turut merangkul Piala FA, slot ke ACL 2 diberikan kepada naib juara Liga Super.

Selain itu, Faizal berharap seluruh penyokong atau peminat bola sepak tanah air tidak berbalah hingga menjejaskan keharmonian dalam arena bola sepak negara.

“Sebagai penyokong, saya harap sangat semua penyokong tidak bertelagah atau melakukan provokasi kerana bola sepak adalah sukan untuk menyatupadukan kita semua dan kita mahukan bola sepak Malaysia yang harmoni. Kalau berbalah kita nak pergi stadium pun takut,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor