KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membuat sebarang pengurangan kompaun saman, sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula 8 hingga 10 Disember ini.
Perkara tersebut disahkan Bahagian Komunikasi Korporat JPJ ketika dihubungi MEDIA VARIASI pada Jumaat.
“JPJ memang tiada membuat pengurangan saman ketika ini. Benar, ada yang salah faham.
“Namun, kami masih membuka kaunter di sini (SNBJ) untuk orang ramai membuat pembayaran,” katanya.
Berdasarkan tinjauan MEDIA VARIASI di pekarangan SNBJ pada Jumaat, ada pengunjung dilihat hampa apabila tidak memperoleh diskaun saman di kaunter JPJ setelah lama menunggu giliran.
Difahamkan, perkara itu bermula apabila timbul salah faham dengan laporan portal berita tempatan, yang menyatakan bahawa JPJ akan membuat pengurangan saman terhadap pesalah jalan raya ketika program anjuran kerajaan itu.
Sebaliknya, hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengeluarkan kenyataan untuk melaksanakan pengurangan kompaun saman trafik dalam program sama.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, tawaran pengurangan kompaun itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi 2023 yang melibatkan saman kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.
Jelasnya, pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di pekarangan SNBJ, bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Disember dan dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada 9 dan 10 Disember.