SEORANG eksekutif sumber manusia bukan sahaja bertindak memecat seorang pekerja di sebuah syarikat, malah turut melakukan peras ugut ke atasnya.
Menerusi panggilan video, pergaduhan mulut antara eksekutif wanita dan pekerja lelaki di sebuah syarikat reka bentuk cip di Beijing, China tercetus baru-baru ini.
Pekerja yang dikenali sebagai Sun itu mendakwa, kontraknya telah ditamatkan secara tidak sah dan menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan sumber manusia syarikat tersebut.
Namun, eksekutif wanita yang dikenali sebagai Jing itu dilihat menjawab pertanyaan pekerja tersebut secara emosi dan tidak profesional.
“Saya pecat awak secara tak sah sekarang. Apa yang boleh anda lakukan mengenainya?” soal Jing secara angkuh.
Jawab Sun: “Awak tak boleh langgar undang-undang. Ini harus dilakukan secara sah. Saya akan menunggu keputusan jabatan buruh.”
Jing menambah: “Awak boleh menunggu. Kami akan membuat tuntutan mahkamah yang boleh memakan masa lebih dua tahun. Saya ada ramai kenalan.
“Awak tidak akan dapat sebarang pekerjaan selama dua tahun setengah. Saya ada makanan dalam pinggan saya bulan depan, tapi awak tiada. Cuba pertimbangkan.”
Wanita itu kemudian menggesa Sun untuk tidak memuat naik video memaparkan interaksi tersebut dan mencadangkan untuk meminta campur tangan pihak polis.
Lapor South China Morning Post, video itu kemudian sudah menerima lebih satu bilion tontonan di media sosial di Tanah Besar tersebut.
Sementara itu, syarikat terbabit, NeoNexus Technologies Limited menerusi kenyataan mengakui bahawa, eksekutif tersebut sememangnya mengeluarkan kenyataan tidak wajar.
Di sebalik kenyataan itu, syarikat tersebut masih mempertahankan wanita berkenaan dengan mendakwa dia berada dalam keadaan emosi ketika kejadian, selain sudah pun digantung sementara bagi tempoh muhasabah diri.
Pada masa sama, syarikat itu menegaskan bahawa penamatan kontrak Sun adalah sah, dengan alasan lelaki tersebut kurang cekap dan menunjukkan prestasi buruk ketika bertugas.
“Sun menyertai syarikat itu pada 25 Jun 2023, dengan tempoh percubaan selama enam bulan. Kami menandatangani perjanjian penamatan bersama pada 1 Disember, yang mana gajinya pada November dan pampasan dibayar sepenuhnya. Semua prosedur adalah mengikut undang-undang,” menurut syarikat itu.
Pada 8 Januari, seorang pegawai jabatan buruh memaklumkan, Sun tidak memfailkan sebarang aduan dan kedua-dua pihak telah mencapai perjanjian penamatan kontrak.
Pada masa sama, Sun menegaskan bahawa, dia masih mahu permohonan maaf daripada Jing dan menggesa wanita itu untuk berhenti memfitnahnya.